Monday 5 July 2010

Usrah Tunjang Tarbiah

Pengenalan

Usrah bermaksud keluarga dari sudut bahasa. Manakala dari istilahnya adalah suatu kumpulan manusia yang berkumpul atas dasar perbincangan ilmiah, mencari penyelesaian permasalahan ummah dan bercita-cita bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, menyuruh kepada yang ma'aruh dan mencegah kemungkaran dan bercita-cita menegakkan kalimah dan daulah Islamiah dengan ciri-ciri dan rukun-rukun tertentu.

Sejarah Usrah

Pada permulaan penyebaran Islam, Rasulullah s.a.w. telah memulakan dakwah baginda dengan bermula dari kelompok yang kecil di rumah Al-Arqam Ibn Abi Al-Arqam. Penumpuan dakwah baginda ketika ini adalah berkisar mengenai aqidah islamiah iaitu ketauhidan kepada Allah s.w.t.

Selepas berlakunya Baiatul Aqabah yang pertama, iaitu baiah diantara Nabi s.a.w. dan 12 orang lelaki dan seorang perempuan dari penduduk Madinah ketika musim haji, Rasulullah s.a.w. telah menghantar wakil ke Madinah bagi mengajar kepada ahli baiah dan mengetuai misi dakwah di Madinah iaitu Mus'ab Ibn Umair.

Peristiwa penghantaran wakil bagi mengajar Islam dan mengetuai misi dakwah ke seluruh dunia berlarutan sehinggalah kewafatan Nabi s.a.w. dan misi dakwah ini telah disambung oleh para sahabat, salafussoleh, tabi'in, tabi' tabi'in dan sehinggalah kini.

Selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniah pada 1924, tumbuhnya kembali dasar-dasar tarbiah dikalangan umat Islam oleh Ikhwanul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1928 yang diketuai oleh Asy-Syaheed Imam Hassan Al-Banna di Mesir bagi menyedarkan umat Islam yang semakin hanyut dengan tipu helah dan aliran-aliran pemikiran barat yang jauh daripada Islam.

Dasar-dasar tarbiah tersebut bermula dari kumpulan manusia iaitu 'Usrah' sebagai tunjang dalam tarbiah. Asy-Syaheed Imam Al-Banna telah meletakkan beberapa rukun dalam perlaksanaan usrah tersebut.

Rukun-rukun Usrah

1) Ta'aruf
2) Tafahum
3) Takaful


1) Ta'aruf
Rukun usrah yang pertama bermula daripada ta'aruf iaitu berkenalan, mengenali sahabat-sahabat yang bersama-sama dalam usrah. Rukun ini penting bagi melihat sejauh mana ukhuwah sesama ahli selaku bakal menjadi ahli dalam gerakan Islam.

2) Tafahum
Dalam berusrah bukan sahaja mengenali nama, latar belakang sahabat usrah dan sebagainya sahaja, malah setiap ahli perlu memahami sahabat-sahabat usrah yang telah dianggap adik beradik mereka. Ta'aruf dan tafahum saling berkaitan dalam mengenali satu sama lain dan mengeratkan ikatan ukhuwah ahli usrah. Proses ini amat penting bagi melatih ahli memahami dan sanggup membantu dan berkorban untuk saudara mereka dan kita boleh mengambil ibrah dari kisah penghijrahan Nabi s.a.w. ketika mana persediaan kamu Ansar membantu pihak Muhajirin yang dalam kesusahan akibat terpaksa meninggalkan harta benda bagi mentaati perintah hijrah.

3) Takaful
Juga boleh disebut sebagai Ta'awun iaitu tolong menolong. Selepas mana setiap ahli usrah telah mengenali dan memahami satu sama lain, secara tidak langsung sifat tolong menolong, bantu membantu sesama ahli pun akan terjalin. Barulah timbul sifat kasih sayang, ambil berat sesama ahli dan sebagainya.


Bermula dari rukun-rukun inilah dalam memperkuatkan ikatan ukhuwah dalam sesama ahli usrah akan menjadi asas dalam proses tarbiah setiap ahli gerakan Islam. Sekiranya tiadanya asas ukhuwah Islamiah sesama ahli, sukar untuk sebuah gerakan Islam untuk bergerak kerana ia amat memerlukan kerja berjemaah atau berpasukan kuat dalam ikatan ukhuwah mereka.


Ibn Waton
0248
060710
Sana'a, Yaman

Sumber: http://syazwansafain.blogspot.com

No comments:

Post a Comment