Musim haji pun sudah menutup tirainya dan Ustaz Sukri Omar, pengasas dan murabbi Baitul Munir dan Ma'ahad Al-Munir pun telah selamat menunaikan ibadah haji beliau tahun ini dan selamat juga pulang ke Sana'a pada 5/12 baru-baru ini. Semoga memperolehi haji mabrur hendaknya.
Tak dilupakan juga 1431H telah melabuh tirainya dan kini kita telah berada pada tahun 1432H. Menunjukkan sudah lebih 1430 tahun Nabi Muhammad saw telah meninggalkan kita semua dan sudah 1432 tahun lamanya sejarah hijrah Rasulullah saw telah berlaku.
Kesannya sehingga kini kita dapat rasainya iaitu nikmat Iman dan Islam yang telah dibawa dengan susah payah, jerih payah, peluh dan darah Rasulullah saw dan para sahabat Rasulullah saw bagi melihat tertegaknya Islam di atas muka bumi Allah swt ini dan ingin mengeluarkan seluruh umat manusia dari kegelapan kepada cahaya, dari jahiliyah kepada kebenaran, dari bati kepada yang hak.
Bagaimana perintah yang agung ini telah dilaksanakan oleh Rasulullah saw dan para sahabat dengan terpaksa berkorban dan mengorbankan seluruh harta benda, keluarga dan sebagainya supaya perintah agung ini terlaksana.
Perintah ini juga menjadi suatu taktik dan kelancaran dakwah baginda saw. Dengan berlakunya hijrah dari mekah ke madinah ini, Rasulullah saw berjaya melaksanakan Islam dari seluruh peringkat (syumul) iaitu bukan sahaja menanamkan aqidah islamiah kepada umat Islam seperti di mekah selama 13 tahun, malah sudah sampai kepada perlaksanaan mendirikan negara Islam yang bermula di Madinah Al-Munawarah.
Kita melihat bagaimana dengan berlakunya peristiwa hijrah ini yang telah menguji seluruh umat Islam ketika itu berjaya membawa suatu ikatan persaudaraan yang utuh diantara kaum ansar dan muhajirin, menyusun gerak langkah dakwah dan serangan bagi menunjukkan kekuatan Islam kepada kaum kafir mekah. Bukanlah umat Islam ini bersifat lemah sepertimana yang telah mereka lakukan ke atas seluruh umat Islam di Mekah suatu ketika dulu, tetapi umat Islam mempunyai maruah yang tinggi dalam mempertahankan agama mereka.
Begitu tingginya nilai hijrah yang boleh kita ambil dari peristiwa hijrah baginda saw. Dengan peristiwa hijrah juga Allah swt telah membenarkan janjinya untuk membuka kota mekah untuk umat Islam dan Islam berjaya membersihkan segala kekotoran jahiliyah dan syirik di atas tanah haram tersebut.
Tetapi lihat sahaja bagaimana apabila Islam dipinggirkan oleh umat Islam sendiri kini, umat Islam dinoda tanpa disedari sepertimana yang telah berlaku di Palestin, Chechnya dan sebagainya. Dimanakah kekuatan umat Islam seperti ikatan ukhuwah antara ansar dan muhajirin? Dimanakah maruah umat Islam mempertahankan agama mereka?
Umat Islam semakin hanyut dengan sistem-sistem kehidupan yang direka bentuk oleh musuh-musuh Islam sendiri, kemudian menjadi sistem-sistem kehidupan yang umat Islam sendiri agung-agungkan kini.
Hukum Islam, cara hidup Islam dikain burukkan sehingga tiada lagi Islam pada jiwa umat Islam kini yang ada hanyalah pada nama-nama mereka sahaja.
Oleh itu, umat Islam seluruhnya perlu sedar akan kesilapan ini, jangan sekadar beria-ia menyambut sambutan ma'al hijrah tetapi hanyalah sekadar sambutan semata-mata untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa kita ini masih ada sensitiviti Islam. Hati kuman di seberang kita nampak, tapi hati gajah depan mata kita tidak nampak.
Semoga hijrah 1432 ini menjadi suatu muhasabah dan bukanlah peletak azam yang tidak pernah terlaksana selama-lamanya. Sejarah kejatuhan telah lama kita ulangi, bilakan lagi sejarah kemenangan kita sama-sama ingin ulanginya lagi dan tidak akan ulangi lagi sejarah kejatuhan?
Akhirnya, kami dari warga Ma'ahad Al-Munir dan Baitul Munir mengucapkan Selamat Menyambut Ma'al Hijrah 1432H kepada seluruh umat Islam khususnya di Bumi Yaman dan tanah air, Malaysia. Semoga tahun ini lebih baik dari sebelumnya.
Penasihat,
Baitul Munir,
Sana'a, Yaman.
No comments:
Post a Comment