Monday 31 January 2011

Daurah Harakiyyah


Sesungguhnya segala puji hanyalah milik Allah SWT. Dia yang sepatutnya kita puji dan hanya kepada-Nyalah kita meminta pertolongan. Barangsiapa yang diberi hidayah oleh Allah SWT maka tidak ada yang dapat menyesatkannya. Barangsiapayang disesatkan oleh Allah SWT maka tidak ada yang dapat memberinya hidayah dan petunjuk. Selawat dan salam kepada Nabi Junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.


Pada hari Sabtu yang lepas bersamaan dengan 29 Januari 2011, Ma'ahad Al-Munir telah mengadakan Daurah Harakiyyah yang bertempat di Musolla Al-Munir. Program ini diadakan dengan tujuan menjelaskan kepada ahli-ahli tentang kepentingan memahami erti perjuangan menegakkan agama Allah. Ia juga bertujuan memperjelaskan kepada ahli-ahli tujuan mereka memperjuangkan Islam.


Pimpinan Ma'ahad Al-Munir telah mencapai kata sepakat untuk menjemput Ustaz Mujibur Rahman Bin Ishak untuk membentangkan mengenai tajuk ini. Beliau yang berasal dari Pahang merupakan seorang graduan Master hadith dari negara Pakistan.


Harakah yang membawa maksud gerakan juga ditakrifkan sebagai "semasa" yang merupakan salah satu syarat bagi gerakan Islam. Gerakan ini juga mestilah bergerak mengikut kesesuaian zaman. Mengambil rujukan daripada zaman nabi-nabi dan rasul-rasul bahawa Allah SWT telah meletakkan bahawa mereka ini bergerak mengikut suasana musuh pada waktu itu.


Pemuda merupakan aset terpenting dalam sesebuah gerakan kerana mereka merupakan pelapis atau pendokong bagi perjuangan sesebuah gerakan. Ustaz Mujibur Rahman juga menjelaskan bahawa gerakan Islam perlulah dipimpin oleh pemuda. Allah SWT mengisyaratkan dalam Al-Quran tentang peranan pemuda.




Firman Allah SWT :

Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Surah Al-Kahfi ; 13-14)


Antara syarat-syarat yang perlu ada pada seorang pemuda yang akan memimpin Jemaah adalah:


Pertama : Dia mestilah seorang yang beriman kepada Allah SWT. Seorang yang beriman adalah seorang yang mempunyai ilmu. Untuk beriman seseorang perlulah mempunyai ilmu terlebih dahulu.


Kedua : Seseorang itu mestilah mendapat hidayah dalam mendekatkan dirinya dengan Allah SWT. Hidayah adalah kerja Allah SWT kita tidak berhak untuk memberi hidayah kepada seseorang itu. Sebagai seorang muslim maka kita perlulah menjadi seseorang yang berusaha untuk memberi hidayah kepada masyarakat supaya mentaati Allah SWT dan dalam masa yang sama kita menuntut hidayah daripada-Nya. Oleh kerana, hidayah ini merupakan urusan Allah maka kita perlu mencarinya.


Ketiga : Pemuda itu mestilah mempunyai persaudaraan yang kuat kerana kehebatan sesebuah Jemaah adalah kepada kesatuan manusia yang berada di dalam.


Sabda Rasulullah SAW : Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada Rasulullah SAW, bersabda Nabi SAW : Tiada beriman seseorang kamu, sehinggalah ia mencintai saudaranya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri.


Pemuda perlulah mempunyai sifat tidak mengenal erti kalah melainkan menang ataupun syahid. Kehebatan pemuda zaman dahulu dan sekarang adalah pada keikhlasan mereka dalam memperjuangkan Islam supaya Islam menjadi undang-undang yang mengatur kehidupan.


Kemenangan hanya akan diberikan kepada orang yang ikhlas berjuang adapun kekalahan dalam perjuangan merupakan satu tarbiah daripada Allah SWT untuk menguji siapakah di kalangan makhluk-Nya yang benar-benar beriman.


Selamat Berjuang….


Muhammad Ashraf Shamil

Timbalan Presiden

Persatuan Mahasiswa Al-Munir (PEMUNIR)

No comments:

Post a Comment