Wednesday, 2 February 2011

Sejarah Pelantikan Khalifah Ar-Rasyidin

Sesungguhnya, demi Allah! Kami tidak memberi jawatan pemimpin kepada seseorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.”

(Hadis Rasulullah S.A.W)


Walaupun menegakkan negara Islam dan melantik ketua negara adalah kewajipan yang sangat besar, tetapi tidak ada ayat yang jelas yang menghuraikan cara pelantikannya. Hanya terdapat peristiwa-peristiwa sejarah Islam selepas wafatnya Rasulullah SAW yang menjadi panduan cara melantik ketua negara.


Pelantikan Abu Bakar As-Siddiq


Apabila wafatnya Rasullullah SAW, sahabat-sahabat di kalangan kaum Ansar berkumpul di Saqifah Bani Syaidah untuk memilih khalifah bagi mengganti Rasulullah SAW. Mereka berpendapat bahawa sesiapa sahaja dari kalangan sahabat boleh dilantik menjadi khalifah lalu mereka mencadangkan Saad bin Ubadah dari kalangan Ansar memegang jawatan itu.Golongan Ansar juga memainkan peranan yang besar dan banyak berkorban dalam perjuangan menegakkan Islam dan mendirikan negaranya. Di samping itu,bterdapat banyak ayat yang umum dalam perkara khalifah yang merujuk kepada golongan Ansar.

Keluarga Rasulullah SAW yang pula berpendapat bahawa khalifah itu mestilah dari kalangan mereka kerana mengambil kira hubungan keluarga. Adapun golongan Quraisy dari kaum Muhajirin, berpendapat bahawa jawatan khalifah itu hendaklah di kalangan Quraisy Muhajirin kerana ada hadis sahih yang menyatakan imam itu mestilah dari kalangan Quraisy.

Para sahabat berbahas secara syura dengan hangatnya. Mereka tidak melulu seperti difahamkan oleh golongan Khawarij dan tidak berdakyah seperti yang difahamkan oleh golongan syiah. Mereka ditarbiah secara langsung oleh al-Quran dan oleh Rasulullah SAW sendiri. Mereka ialah generasi Islam yang paling ulung berpegang dan beriman kepada firman Allah SWT.

Allah menceritakan,

Dan urusan mereka dijalankan secara musyawarah sesama mereka.”

(Surah as-Syura, ayat 38)

Para sahabat dijamin mendapat redha Allah. Semoga Allah mengampuni dosa mereka kerana jasa yang besar sehingga islam itu sampai kepada kita pada hari ini.

Melalui cara mesyuarat inilah mereka mengambil keputusan memilih Abu Bakar as-Siddiq menjadi khalifah selepas wafat Rasulullah SAW. Mereka bersetuju dengan pendapat golongan Muhajirin dengan memilih khalifah itu daripada kalangan Quraisy yang paling besar pengaruhya. Abu Bakar as-Siddiq memainkan peranan penting ketika berhijrah ke Madinah dan beliau juga dilantik olehRasulullah SAW menjadi imam sembahyang ketika Rasulullah SAW uzur.

Seterusnya semua para sahabat bersetuju melantik Abu Bakar as-Siddiq menjadi Khalifah. Kesimpulannya, pemilihan khalifah itu mestilah diambil dari kalangan mereka yang memenuhi syarat-syarat, dengan keputusan syura serta di kalangan orang-orang yang berpengaruh.


Perlantikan Umar Al-Khattab


Apabila Abu Bakar dalam keuzuran dan merasai tanda-tanda kematian, beliau mengadakan mesyuarat bersama para sahabatnya. Beliau mencadangkan kepada mereka supaya melantik Umar bin Al-Khattab menjadi khalifah selepasnya dan cadangan itu ditulis dalam surat perutusan yang dibaca kepada orang ramai. Antara ucapan beliau ialah,

Adakah kamu meredhai orang yang aku cadangkan menggantikan aku? Aku tidak memilihnya kerana hubungan keluarga denganku, aku memilih Umar untuk menjadi khalifah untuk menggantikan aku. Maka dengar dan taatilah.”

Abu Bakar tidak memaksa Umar dan orang ramai apabila melantik khalifah selepasnya, beliau hanya mengemukakan cadangan. Difahamkan daripada yang berlaku ialah khalifah boleh mencadangkan penggantinya dengan syarat mestilah mendapat persetujuan daripada orang ramai dan mendapat persetujuan daripada orang yang dilantik.


Pelantikan Uthman bin Affan


Apabila Umar didalam keadaan tenat setelah cedera parah ditikam, para sahabat memintanya supaya mencadangkan khalifah selepasnya. Umar menjawab, “Fikirlah dahulu, sekiranya aku mencadangkan pengganti, maka sesungguhya aku mengikut jejak langkah orang yang lebih baik daripadaku kerana Abu Bakar sudah lakukan. Sekiranya aku tidak mencadangkan pengganti, sesungguhnya aku mengikut jejak langkah Rasulullah SAW yang lebih baik daripada aku kerana beliau tidak mencadangkan pengganti selepasnya.”

Seterusnya Umar mencadangkan supaya khalifah dipilih di kalangan enam orang sahabat ulung iaitu Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf, Al-Zubir bin Awwam, Talhah bin Abdullah dan Saad bin Abi Waqas. Beliau mencadangkan supaya memilih salah seorang di kalangan mereka dengan memberikan beberapa syarat. Antaranya, tempoh pemilihan tidak melebihi tiga hari, jangan memilih anaknya sendiri iaitu Abdullah bin Umar walaupun Abdullah dibenarkan menghadiri mesyuarah dan sekiranya terdapat dua calon yang sama banyak undiannya maka pilihlah orang yang disokong oleh Abdul Rahman bin Auf.

Apabila diadakan mesyuarat, Abdul Rahman bin Auf menarik diri dan meminta jawatan khalifah diberikan kepada sesiapa sahaja di kalangan lima sahabat. Lalu Abdul Rahman bin Auf bertindak menemui orang ramai di kalangan seluruh para sahabat, pemimpin-pemimpin masyarakat dan panglima-panglima tentera. Orang ramai memilih dua nama iaitu Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib. Apabila undian dibuat, lebih ramai yang bersetuju dengan Uthman bin Affan sebagai khalifah. Pelantikan ini dipersetujui oleh semua para sahabat termasuk juga Ali bin Abi Talib. Uthman bin Affan rasmi menjadi khalifah yang ketiga.


Pelantikan Ali bin Abi Talib


Apabila Uthman bin Affan dibunuh dengan zalim dan kejam sehingga menjadi bencana dan fitnah yang besar kepada umat Islam, orang ramai dating ke rumah Ali memintanya menjadi khalifah. Ali enggan menerimanya dan meminta supaya perkara ini dirujuk kepada pembesar di kalangan sahabat. Suasana menjadi bercelaru kerana mencari pengganti khalifah.

Apabila para sahabat dating menemuinya, Ali menolak lagi, tetapi apabila mereka mendesaknya juga Ali meminta supaya pelantikannya dimaklumkan kepada orang ramai dan dilakukan di masjid. Akhirnya pelantikan itu berlangsung di masjid disaksikan orang ramai termasuk para sahabat. Ali bin Abi Talib diisytiharkan sebagai khalifah yang keempat selepas Rasulullah SAW wafat.


Kesimpulan


Peristiwa-peristiwa bersejarah ini menjadi panduan kepada umat Islam kerana ia merupakan jalan penyelesaian yang dilakukan oleh para sahabat. Ia membuktikan perlaksanaan hukum syarak dijalankan dengan baik oleh para sahabat kerana kewibawaan, keilmuan dan keikhlasan mereka terhadap Islam dan penganutnya. Ia juga membuktikan bahawa pemilihan dan pelantikan khalifah menjadi sempurna kerana :

Pemilihan umat Islam yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin mereka yang jujur dan berwibawa secara langsung. Dicadangkan oleh khalifah sebelumnya dan mendapat persetujuan daripada umat Islam.


Disahkan dengan persetujuan ramai


Sistem mesyuarat inilah yang diamalkan secara sah oleh para ulama dalam melantik khalifah seterusnya. Antaranya semasa pelantikan Umar bin al-Khattab bin Abdul Aziz, seorang khalifah yang adil dan alim. Apabila diberitahu dan diumumkan oleh para ulama supaya dia menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik, beliau terus menaiki mimbar dan berucap, “Sesungguhnya demi Allah aku tidak meminta dilantik dalam perkara ini dan terserah kepada kamulah memilihnya.”

Islam melarang meminta jawatan dan menonjol diri sendiri supaya dilantik menjadi pemimpin. Ia dianggap sebagai cara yang tidak bermoral dan oleh orang yang tidak bermoral.

Rasulullah SAW telah berkata,

“Sesungguhnya, demi Allah! Kami tidak memberi jawatan pemimpin kepada seseorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.”

(Direkodkan oleh Bukhari)

Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abdul Rahman bin Samurah katanya,

“Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta supaya dilantik menjadi ketua. Sekiranya engkau diberi jawatan itu tanpa memintanya nescaya engkau diberi pertolongan dan juga sekiranya engkau diberi secara memintanya pasti engkau diwakilkan memikul bebannya (tanpa pertolongan)

1 comment:

  1. TAK SALAH SAYA, NABI YANG MEWASIATKAN TANGGUNGJAWAB ITU KEPADA ABU BAKAR SEBELUM BAGINDA MANGKAT

    ReplyDelete