“Jauh perjalanan luas permandangan” kata orang tua, bukan sahaja luas pandangan tetapi menambah jaringan teman-teman baru serta memberi pengalaman yang sering kali mematangkan diri dalam perjalanan mencapai usia dewasa. Fenomena ini sering kali berlaku kepada setiap individu tidak juga terlepas kepada diri yang menulis artikel ini.
Teman adalah sebuah refleksi, siapa kita dan siapa kawan kita. Setiap orang akan memilih seseorang yang memiliki kecenderungan yang sama, salah memilih kawan akan menyebabkan seseorang itu tersalah dalam menentukan hala tuju hidupnya. Berbeza dengan kawan yang sejati, kawan yang sebegini akan mengingatkan dia kepada akhirat serta menginsafi bahawa dunia adalah tempat melakukan amal sebagai bekalan untuk menghadapi hari akhirat kelak.
Sepanjang pengajian saya di Bumi Yaman, saya turut mendapat beberapa orang sahabat yang amat menarik keperibadiannya. Teringat saya ketika pertama kali menjejak kaki ke bumi Yaman. Tanpa disedari telah hampir 2 tahun lebih saya menimba ilmu di bumi Yaman. Banyak kenangan yang didapati ada di antara kenangan yang pahit ada yang sebaliknya namun yang pastinya ia adalah pengalaman yang mematangkan diri sepanjang perjalanan mencapai usia dewasa.
Perkenalan dengan seorang teman yang bernama Ahmad Nabil Fikri sedikit sebanyak menyedarkan diri ini akan keperluan untuk berubah. Seseorang yang murah dengan senyuman, ceria peribadinya, jarang marah serta amat menghargai sesiapa yang bersahabat dengannya. Biarpun mempunyai umur yang jauh lebih muda dari teman-teman serumah yang lain namun dikurniakan oleh Allah mempunyai daya pemikiran yang jauh lebih matang dari kebanyakan manusia yang mempunyai umur yang sama dengannya.
Setelah kepulangan saya ke Malaysia selama 3 bulan atas alasan untuk menjenguk keluarga yang hampir 2 tahun ditinggalkan. Dia juga turut tidak ketinggalan dalam melakukan hal yang sama biarpun tidak bertemu dengannya sepanjang keberadaan di Malaysia atas alasan-alasan yang tidak dielakkan namun tidak pernah sekali empunya diri lupa untuk berhubungan dengannya.
Apabila kembalinya kami ke Yaman untuk menyambung pengajian, saya serta sahabat-sahabat lain dikejutkan dengan berita akan pemergian beliau ke Indonesia dalam masa yang terdekat. Kesibukan bergelut dengan pengajian dan persatuan sedikit sebanyak menghalang untuk lebih meluangkan masa dengan beliau sebelum berangkatnya beliau ke Indonesia.
Selang beberapa bulan, beliau telah berangkat pulang ke Malaysia pada 26 Feb 2011 sebelum menyambung pengajian beliau di Indonesia. Semestinya berita ini datang sebagai tamparan yang hebat kepada seluruh warga rumah. Namun begitu keceriaan beliau sedikit sebanyak menghilangkan hiba warga serumah dalam menghadapi situasi ini. “Beliau memang seseorang yang ceria, detik hatiku”.
Saya khususkan artikel ini untuk sahabat saya Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi.
“Nabil, perjuangan kita masih jauh namun walaupun jauh sekalipun tidak mungkin kita akan meninggalkan perjuangan yang sama-sama kita dokong ini. Tanamkan dalam hati anta nasihat Hasan al-Banna bahawa tanggungjawab yang kita ada lebih banyak dari waktu yang diberikan kepada kita. Kehidupan ini mungkin ada payahnya namun di sebalik kepayahan itu ada ibrah serta hikmahnya. Belajar bersungguh-sungguh ketika berada di Indonesia nanti. Maafkan segala silap dan salah ana kepada anta kerana ana adalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Biarpun jauh mana sekalipun anta berada ketahuilah ana tetap sahabat anta sebelum dan selepas daripada pemergian anta.”
Saya tidak mempunyai banyak mutiara yang berharga untuk diberikan kepada beliau. Hanya doa serta nasihat yang dapat saya berikan sebagai tanda kenangan serta penghargaan saya kepada beliau.
Akhir kata, semoga Allah mengekalkan kita sebagai sahabat bukan sahaja di dunia tetapi sahabat yang sama-sama memimpin ke syurga di hari akhirat kelak.
Selamat berjuang wahai sahabatku Ahmad Nabil Fikri Bin Norhashimi
Muhammad Ashraf Bin Shamil
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Al-Munir
No comments:
Post a Comment